JELEBU: FELCRA Berhad mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 sebanyak RM182,785,208.18 yang akan diagihkan kepada lebih 68,000 pesertanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata
Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 adalah diraih daripada 616 projek untung.
“Prestasi bayaran akhir ini dipengaruhi oleh trend harga minyak sawit mentah (MSM), kos input pertanian dan kos tenaga buruh berikutan pelarasan gaji minimum yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
“Jumlah agihan keuntungan tahunan projek peserta FELCRA Berhad 2022 telah meningkat kepada RM501,556,634 berbanding tahun 2021 sebanyak RM475,207,280 iaitu peningkatan sebanyak 5.54% atau RM 26,349,354.
“Bayaran bagi keuntungan boleh agih ini akan dibayar kepada warga peserta secara berperingkat bermula hari ini,” katanya berucap dalam Program Santunan Kasih Ramadan di Kompleks Pentadbiran dan Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu di sini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid berkata FELCRA Berhad akan terus membantu peserta melalui pelbagai program keusahawanan yang dilihat mampu memberi pendapatan sampingan lumayan kepada mereka.
Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan Pusat Tahfiz sekitar DUN Pertang sebanyak RM86,000 dan agihan duit raya kepada pelajar tahfiz.
Turut diserahkan replika cek berjumlah RM80,000 bagi program Quick Win KEMAS yang membabitkan 20 peserta bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.