Tumpuan :
Nasional

FELCRA agih keuntungan RM192.51 juta kepada 68,300 peserta

Zahid ditemui di Majlis Iftar Semarak Ramadan sempena Majlis Pengisytiharan dan Pengagihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 di Masjid Kuala Akoh, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun Projek Peserta FELCRA Berhad (FELCRA) 2024 sebanyak RM192.51 juta.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, agihan itu memberi manfaat kepada lebih 68,300 peserta terlibat dalam 583 projek yang mencatat keuntungan di seluruh negara.

“Daripada jumlah keseluruhan Keuntungan Boleh Agih akhir tahun 2024, FELCRA mencatat jumlah sebanyak RM521.9 juta,” katanya.

Beliau berucap di Majlis Iftar Semarak Ramadan sempena Majlis Pengisytiharan dan Pengagihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 di Masjid Kuala Akoh, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

FELCRA ujarnya, terus mengukuhkan peranan sebagai pemangkin kesejahteraan peserta luar bandar dengan peningkatan keuntungan akhir tahun sebanyak 154 peratus atau RM116 juta berbanding tahun sebelumnya.

Zahid ditemui di Majlis Iftar Semarak Ramadan sempena Majlis Pengisytiharan dan Pengagihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 di Masjid Kuala Akoh, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Dengan peningkatan itu, purata pendapatan bersih tahunan setiap peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi masyarakat luar bandar.

Antara faktor utama kejayaan itu adalah peningkatan hasil ladang kelapa sawit di bawah Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P), yang mencatat kenaikan sebanyak 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar.

Selain itu, strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada kejayaan, dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar, sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.

Matlamat FELCRA adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar bagi setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun, sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta.

Tambahnya, dengan sokongan kukuh daripada KKDW serta pendekatan strategik yang lebih mampan, FELCRA optimis dalam mencapai sasaran lebih tinggi bagi tahun mendatang selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor luar bandar.

Di majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada surau, masjid dan sekolah, selain menyerahkan sumbangan zakat dan duit raya kepada anak yatim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini