Tumpuan :
Nasional

Fatwa khusus GISBH diputuskan JK Fatwa akhir bulan ini – Mufti Negeri Sembilan

Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin. – Foto Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan / Facebook

SEREMBAN: Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH Holdings (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam, akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan akhir bulan ini.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin, berkata JK Fatwa negeri akan melihat keperluan atau membuat keputusan sama ada satu fatwa khusus berkaitan GISBH perlu dikeluarkan atau sebaliknya.

“Keputusan MKI itu akan dibawa ke Muzakarah JK Fatwa negeri yang akan bersidang akhir bulan ini.

“JK ini akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk mengeluarkan satu fatwa khusus berkaitan GISBH.

“Setakat ini keputusan MKI itu belum disampaikan secara rasmi kepada peringkat negeri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut, bahawa ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Nooh dilaporkan berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

Antara ciri-ciri penyelewengan daripada ajaran agama Islam itu ialah Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Sheikh Muhammad Suhaimi adalah Imam Mahadi, Asaari Muhamad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi sebagai pembantu di akhir zaman, Asaari Muhamad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.

Mengulas lanjut, Mohd Faudzinaim berkata, setakat ini keputusan yang dibuat di Negeri Sembilan adalah seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa kerajaan negeri masih merujuk kepada fatwa al-Arqam 2016 bagi tujuan penguatkuasaan terhadap pengikut GISBH.

“Penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah terhadap pengikut GISBH adalah berdasarkan warta 2016,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini