TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan korporat untuk melaksanakan pelbagai program berskala besar.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata berbanding lebih 10 tahun lalu, kini UPSI sudah melangkah jauh dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk masyarakat.
Katanya, segala prasarana yang ada bukan sahaja untuk warga UPSI, malahan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat selaras dengan konsep Universiti Untuk Komuniti.
Namun, katanya, kemudahan yang ada itu kini mendapat sambutan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan korporat untuk menjayakan pelbagai program seperti sukan, kebudayaan serta pelaksanaan pelbagai seminar dan persidangan peringkat nasional dan antarabangsa.
Terbaru katanya, menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memilih Dewan Tuanku Canselor (DTC) sebagai lokasi menyemarakkan teater tradisional iaitu Mak Yong yang dihadiri lebih 5,000 penonton sekali gus menjadikan UPSI sebagai pusat memartabatkan budaya dan seni negara ini.
“Saya mengalu-alukan pelbagai agensi untuk melaksanakan program di DTC yang boleh muatkan 5000 penonton malah dilengkapi dengan kemudahan teknikal, led screen, penataan bunyi yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Antara fasiliti lain ialah UPSI Super Bowl 24 lorong, penginapan Scholars’ Suite, kolam renang bertaraf olimpik di UPSI Sports City dan UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah.
“Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City berkeluasan lebih 850 ekar, manakala Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjong Malim yang berkeluasan 85 ekar adalah kampus bersejarah yang memiliki tujuh bangunan yang digazet sebagai bangunan warisan antaranya Bangunan Suluh Budiman dan Rumah Za’ba, pendeta bahasa terkemuka tanah air.
Bangunan Suluh Budiman yang kini dijadikan Muzim Pendidikan Nasional (MPN) pernah dipilih sebagai lokasi penggambaran filem komedi kontemporari “Mengonjang Makhluk Muzium” lakonan Usop Wilcha dan arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2015.
Beliau berkata, UPSI yang menjadi destinasi pelancongan daerah Muallim menjanjikan pengalaman menarik untuk dibawa pulang oleh sesiapa sahaja dan pasti akan berkunjung lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.