comscore
Tumpuan :
Nasional

Fasa pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap November ini

SRI AMAN: Fasa pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari simpang Pantu ke Batang Skrang yang turut melibatkan Seksyen Bukit Begunan dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

Projek terbabit yang sepatutnya siap Jun ini terpaksa dilanjutkan daripada perancangan asal susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan sekaligus mengakibatkan struktur projek perlu direka bentuk semula.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, reka bentuk projek bagi seksyen terbabit sebelum ini menggunakan isi tanah sebagai tambak namun terdapat kegagalan pada kaedah berkenaan.

Justeru ia ditukar kepada reka bentuk mengunakan isian batu kerikil sebagai tambak setelah kajian terperinci mengenainya dilaksanakan.

“Semasa Pembinaan pernah berlaku runtuhan pada reka bentuk sebelum ini iaitu menggunakan isian tanah (earthfill), jadi ditukar kepada isian batu kerikil (rockfill sekarang) dan itu juga agak besar jumlah yang diperlukan untuk buat tambak ini

“Pada masa sekarang kita difahamkan mungkin 50% sahaja telah dibina (rockfill) dan ia akan memerlukan separuh atau 50 peratus lagi untuk menyempurnakan binaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan meninjau Seksyen Bukit Begunan di Sri Aman.

Beliau berkata, sebanyak 721,000 meter padu isian batu kerikil diperlukan untuk meyiapkan sepenuhnya isian untuk membuat tambak berkenaan bagi membolehkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pakej kerja berkenaan dilakukan.

“Reka bentuk baharu menggunakan keadaan Rockfill ini menyebabkan implikasi peruntukan tambahan kerajaan persekutuan kira-kira RM70 juta,” katanya.

Menurut Nanta, Kerja pembinaan bagi tambak batu di seksyen terbabit bermula 8 April tahun lalu bertujuan meningkatkan kestabilan tambak serta memendekkan jangka masa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Sehingga awal Februari ini, keseluruhan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo sudah mencapai 92 peratus pelaksanaannya.

Loading...
Terkini