KUALA LUMPUR: Negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat, menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Ia berikutan fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 19 September dan berterusan sehingga November depan.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, permulaan fasa itu juga menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 15 Mei lalu.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.