
SHAH ALAM: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sudah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur dengan jarak sejauh 103.7 kilometer (km) pada penghujung Oktober tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan proses pengukuran dan pemetaan berkenaan, secara keseluruhan kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 km direkodkan.
“Ketika ini, kita sedang menentukan dan menetapkan apa yang dipanggil Outstanding Boundary Problem (OBP) bagi kita selesaikan sebagaimana nilai atau jumlah ditetapkan pada 5 Mac 2020.
“Kita sudah menandakan apa yang dipanggil OBP, supaya kita boleh melihat kawasan ini boleh ditentukan di mana sempadannya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) mengenai perkembangan terkini persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur.
Amirudin berkata, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pejabat tanah dan galian Kuala Lumpur serta JUPEM dalam usaha memastikan perbincangan mengenai persempadanan ini dapat dimuktamadkan.
“Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat sudah dilakukan dan Insya-Allah mesyuarat seterusnya akan berlangsung pada 11 Mac ini.
“Kita sangat optimis dapat selesaikan isu sempadan walaupun kawasan sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor sedikit rumit berbanding pengalaman kita selesaikan ukuran dengan Negeri Sembilan dan Pahang dan kita belum mula dengan Perak,” katanya.
Beliau berkata, kerumitan itu timbul akibat kedudukan sempadan ‘conplicated) di mana sebahagiannya membabitkan premis, jalan, longkang dan kawasan tertentu.
“(Sebagai contoh) ..garis sempadan yang ditetapkan pada 1970 tidak diukur, premis itu dibangunkan oleh pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).
“Ada juga yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan Selangor, tapi dalam ukuran sekarang ia masuk dalam kawasan sempadan Kuala Lumpur.
“Oleh itu katanya, perkara ini perlu dimuktamadkan dan diselesaikan hal ini sebelum satu perjanjian ditandatangani antara Menteri Besar dan Menteri Wilayah yang akan menetapkan garis sempadan.
“Ini sekali gus menentusahkan kedaulatan tanah dan wilayan negeri Selangor supaya dapat dibangunkan dengan lebih baik dan perancangan dilaksanakan,” katanya.