comscore
Tumpuan :
Nasional

Fasa kedua SUKE dibuka minggu depan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (kiri) meninjau sekitar projek lebuh raya SUKE Fasa Kedua di Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Fasa kedua Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) bakal dibuka mulai minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata antara 80,000 hingga 100,000 buah kenderaan dijangka menggunakan laluan itu sehari.

Fasa kedua SUKE menghubungkan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Pelabuhan Klang, Subang Jaya, Bukit Kemuning dan Puchong ke Bukit Antarabangsa dan pusat bandar.

Pada masa sama ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga 30 peratus.

Tambahnya, fasa kedua SUKE melengkapkan jajaran utama SUKE sepanjang 24.4 kilometer (km) dari Sri Petaling ke Ulu Klang dengan panjang keseluruhan 57.7 km termasuk persimpangan.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat media dan lawatan tapak projek Lebuh Raya SUKE Fasa Dua di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) PROLINTAS, Rostam Shahruf Tami; Pengurus Besar SUKE, Zakaria Shaffie dan Pengurus Kanan SUKE, Mohd Bazly Said.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah memberi penerangan projek lebuh raya SUKE Fasa Kedua di Pejabat Lebuhraya SUKE, Alam Damai, Cheras. – FOTO: NSTP

Termasuk fasa pertama, ada 14 persimpangan keluar disediakan untuk pengguna lebuh raya SUKE.

Tambah Datuk Mohammad Azlan, fasa ketiga SUKE membabitkan persimpangan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada suku ketiga tahun ini.

Fasa pertama SUKE bagi jajaran sejauh 16.6 km bermula dari persimpangan Cheras-Kajang ke persimpangan Bukit Antarabangsa dibuka pada 16 September tahun lalu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini