Tumpuan :
Nasional

Fasa 2 baucar buku pelajar IPT disalur mulai Rabu ini

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penyaluran baucar buku fasa kedua kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) akan diagihkan pada Rabu ini (30 Oktober).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan fasa sehingga 31 Disember depan itu, akan memanfaatkan lebih 1 juta pelajar IPT warga tempatan.

“Bagi fasa kedua, penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui pelantar digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif sehingga 31 Mac 2024.

“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE di pautan https://mysiswaplace.my bermula 30 Oktober 2024,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, penebusan kod baucar yang terjana di portal hanya sah digunakan untuk pembelian buku di portal MySISWAPLACE dengan setiap pelajar layak menebus baucar berjumlah RM100.

Fasa pertama inisiatif baucar buku adalah pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, KPT berkata, pemilihan portal MySISWAPLACE di bawah kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) iaitu agensi rasmi di bawah KPT adalah untuk memudahkan urusan pelajar menggunakan baucar sepanjang inisiatif berkenaan.

Jelasnya, portal terbabit membantu pelajar dengan menyediakan akses mudah dan cepat kepada bahan bacaan melalui pelantar atas talian yang dilengkapi dengan sistem yang telus.

Ia bagi memastikan pelajar sentiasa mempunyai bahan rujukan yang diperlukan, memaksimumkan keberkesanan pembelajaran dan mengurangkan kesulitan.

Majlis pelancaran MySISWAPLACE akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir esok.

“KPT berharap inisiatif ini dapat membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat memugar budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT serta bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini