Tumpuan :
Nasional

Farrah Naz raih Anugerah Kepimpinan Wanita NUJM

Fadillah menyampaikan Anugerah Kepimpinan Wanita NUJM kepada Farrah Naz (dua dari kanan) pada Malam Gala Jubli Intan NUJM di WTCKL malam ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim menerima Anugerah Kepimpinan Wanita pada Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengarang Urusan Kumpulan (GME) Media Prima, Jasbant Singh; bekas Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Pada majlis sama, tiga lagi anugerah disampaikan ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, yang dianugerahkan kepada Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Anugerah Bintang Digital Muda, dimenangi oleh Pengasas Bersama The Fourth, Ian Yee.

Selain itu, Anugerah Keberanian pula dianugerahkan kepada Crime Journalist Association (CIJA).

Sambutan Jubli Intan NUJM diadakan bagi menghormati pencapaian kesatuan dalam memperkasakan wartawan di seluruh negara, selain komitmen dalam memupuk perpaduan dan kemajuan dalam sektor media.

Lebih 300 wartawan dan pengamal media hadir memeriahkan acara bersejarah itu bagi merayakan kemajuan yang dicapai sepanjang enam dekad dan menonjolkan kekuatan kolektif media Malaysia.

Sejak 62 tahun lalu, NUJM memperjuangkan hak-hak wartawan, membimbing pengamal media melalui cabaran seperti perubahan ekonomi, revolusi media digital dan impak COVID-19.

Sementara itu, Presiden NUJM, Farah Mashita Abdul Patah, berkata pihaknya akan terus memperjuangkan akhbar yang kuat dan berdaya tahan yang berkhidmat untuk kebaikan awam.

“Melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk mendapatkan sumber tambahan bagi menyokong penyelidikan dan inisiatif yang mempersiapkan wartawan untuk masa depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini