Tumpuan :
Nasional

Farrah Naz Karim dilantik Profesor Adjung Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim (kanan) bersama Jaffri Amin Osman selepas menerima sijil pelantikan daripada Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr Abd Rasid Abd Rahman (tengah). – FOTO FB

SHAH ALAM: Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dilantik sebagai profesor adjung Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Surat pelantikan disampaikan Dekan FKPM, Dr Abd Rasid Abd Rahman sambil disaksikan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik), Dr Noor Mayudia Mohd Mothar serta Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Rangkaian Industri), Dr Tengku Elena Tengku Mahamad.

Turut dilantik sebagai profesor adjung di fakulti sama ialah Pengarah Urusan World Communication Network Resources (M) Sdn Bhd, Jaffri Amin Osman.

Abd Rasid berkata, pengalaman luas Farrah Naz dan Jaffri Amin akan membolehkan pihak fakulti merapatkan jurang di antara bidang akademik dan industri media dengan input daripada mereka boleh membantu proses membina kurikulum.

Katanya lagi, mereka juga boleh membantu menyumbang kepada kuliah khas, seminar dan bengkel yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan akademik.

“Industri media bergerak pantas dan pelantikan profesor adjung ini secara tidak langsung akan membantu kami mengenal pasti perubahan dalam industri untuk melengkapkan pelajar dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Farrah Naz, berkata beliau komited bekerjasama dengan FKPM bagi melengkapkan pelajar dengan lebih baik untuk berdepan realiti pasaran kerja supaya mereka lebih berdaya saing, berdaya tahan dan sentiasa dicari.

Tambahnya, industri media akan menjadi lebih baik dengan mereka yang berbakat, tangkas dan boleh berfikir di atas kaki sendiri.

“Kami memerlukan graduan yang boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan, pandai berkata-kata, berpengetahuan dan mampu membuat keputusan cepat serta bermaklumat dengan pengawasan yang minimum.

“Mereka sepatutnya boleh melakukan pelbagai tugas, meningkatkan kemahiran dan cepat bertindak balas kepada perubahan,” katanya mengakui terdapat jurang di antara permintaan industri dan kebolehan graduan baharu.

Justeru, katanya, beliau akan bekerjasama dengan pihak fakulti untuk membantu merapatkan jurang berkenaan dan menjadikan graduan UiTM sebagai penanda aras bagi industri.

“Industri media sentiasa bergerak pada kadar yang luar biasa. Graduan mesti bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Sementara itu, Jaffri turut menekankan kepentingan untuk universiti mendapatkan input daripada industri bagi memastikan pelajar mempunyai pemahaman sewajarnya mengenai industri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini