SHAH ALAM: Pelakon Farid Kamil, 42, meluahkan harapan untuk melihat isterinya, Diana Danielle, 32, bertaubat sebelum terlambat atas segala perbuatan yang dilakukan.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari berkata, tanggungjawabnya sebagai suami adalah membantu Diana untuk kembali ke jalan benar supaya tidak menerima padah.
Bagaimanapun, pelakon utama filem Anwar: The Untold Story itu tetap memaafkan segala perbuatan Diana terhadapnya.
“Bila saya tahu akibat di sebalik apa yang dilakukan, dia mungkin ditimpa laknat yang saya sendiri tidak boleh ampunkan.
“Sebagai manusia, saya maafkan Diana. Apa sahaja kesalahannya, saya maafkan sebab dia adalah isteri dan ibu kepada dua anak saya,” katanya ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Farid berkata, dia tetap akan berusaha sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 2012 itu.
“Saya tetap mahu selamatkan rumah tangga ini. Saya memang sayangkan Diana dan anak-anak.
“Semua perkara akan ditentukan oleh mahkamah sebab saya hanya manusia biasa. Saya hanya bertindak sebagai suami yang menuntut hukum-hakam,” kata Farid sebak.
Farid berkongsi mengenainya selepas menjalani prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, antara jam 11.45 pagi sehingga 1 petang tadi.
Pelakon itu turut ditemani peguam syarie mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Fakhrul kemudian mengesahkan pasangan itu akan menghadiri sulh kedua pada 25 Mei depan berikutan Diana tidak dapat hadir hari ini.
Terdahulu, Farid memujuk Diana dengan mengemukakan tawaran perdamaian membabitkan antaranya aset, barang kemas dan bayaran pendahuluan nafkah bernilai RM319,700.
Farid berharap tawaran dapat melembutkan hati Diana demi masa depan dan kebaikan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.