Tumpuan :
Dunia Seni

Farid enggan cerai Diana, mahkamah perintah lantik JKP

Pasangan selebriti, Farid dan Diana tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini memerintahkan pasangan selebriti, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding kes permohonan perceraian, hari ini.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 Mac tahun depan untuk sebutan semula dan laporan JKP bagi kedua-dua pihak.

Semasa prosiding pagi tadi, Diana diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.

Mahkamah kemudian mengesahkan status pasangan pelakon itu sebagai suami isteri selepas melalui prosiding permohonan pengesahan rujuk pada 20 November lalu.

Bagi permohonan cerai, Diana memfailkannya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Nama pasangan ini kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Farid masih mahu mempertahankan rumah tangga dan menyayangi Diana dan anak-anaknya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini