Tumpuan :
Nasional

Farah Nini tekad perkasa hak kanak-kanak

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Farah Nini Dusuki dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) komited dalam menjayakan usaha memperkasa perlindungan serta hak kanak-kanak di negara ini.

Katanya, kesedaran orang ramai berhubung kepentingan undang-undang melibatkan golongan kanak-kanak harus ditingkatkan.

“Negara kita tidak kurang undang-undang yang sangat komprehensif dalam menangani isu kanak-kanak.

“Malangnya masyarakat kita tidak begitu sedar tentang adanya peruntukan-peruntukan ini. Maka saya lihat peranan saya adalah untuk tingkatkan kesedaran orang ramai.

“Ia termasuk tentang pentingnya memperkasakan hak kanak-kanak dan adanya natijah undang-undang sekiranya tidak melindungi kanak-kanak sebaik mungkin,” katanya kepada wartawan Buletin TV3 hari ini.

Tambahnya, langkah intervensi juga penting untuk dilaksanakan bagi mengatasi trend peningkatan isu penderaan kanak-kanak.

Pemerkasaan hak golongan itu juga dapat membantu mereka membesar secara optimum tanpa sebarang trauma.

Justeru, golongan dewasa digesa untuk lebih peka dalam memastikan nasib kanak-kanak di negara ini terus terbela.

Untuk rekod, beliau berkhidmat di Fakulti Undang-Undang UM sejak Disember 2007 dan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak.

Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Cardiff di Wales, United Kingdom pada 2002 dengan tesis yang menganalisis permasalahan sosio-perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Loading...
Terkini