Tumpuan :
Nasional

FAMA tingkat 30% import kelapa dari pelbagai lokasi, tampung kekurangan bekalan

PASIR PUTEH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan 30 peratus import kelapa bermula bulan lalu bagi menampung kekurangan bekalan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, sebanyak 640,000 biji kelapa dibawa masuk sejak bulan lalu dari beberapa lokasi di Indonesia, Sabah dan Sarawak.

Katanya, kekurangan bekalan kelapa bukan hanya dialami di Malaysia, sebaliknya banyak negara mengalami isu sama disebabkan musim melawas.

“Jika sebelum ini kita hanya mendapatkan bekalan dari satu lokasi di Indonesia iaitu di Riau, namun selepas masalah bekalan berlaku, kita turut mendapatkan bekalan dari Palekbang selain di Sabah dan Sarawak.

“Dengan penambahan 30 peratus ini, kita jangka ia dapat menstabilkan bekalan kelapa di pasaran, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri yang semestinya berlaku permintaan meningkat.

“Pada masa sama, hasil lawatan saya di Thailand, baru-baru ini juga mendapati Thailand kini turut mendapatkan bekalan kelapa dari Vietnam. Langkah itu menjadikan kita akan memperoleh bekalan kelapa lebih banyak,” katanya.

Rashid Bahri (tengah) bersama Wan Faizatul menunjuk hasil tembikai sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai di sini, hari ini. Foto: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai di Kampung Haji Wan Omar, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Fama Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan ada pembekal yang cuba menyeludup bekalan kelapa ke Thailand, Abdul Rashid berkata, kesemua yang ditahan mempunyai lesen.

“Dari siasatan yang dilakukan, kita tiada bukti yang jelas bekalan berkenaan bertujuan untuk dieksport ke Thailand kerana di pihak Fama, kita melihat kepada lesen.

“Siasatan kita, mereka mempunyai lesen dan kesalahan mereka adalah tidak mempamerkan papan tanda sebagai pembeli dan pembekal kelapa yang berlesen.

“Pada masa sama, dengan keadaan bekalan kelapa yang kurang, kita tidak berhasrat untuk mengehadkan pemberian lesen pembekal kelapa.

“Lagi ramai yang berniaga lagi bagus supaya bekalan berjalan dengan baik dan tiada pihak yang monopoli bekalan berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini