Tumpuan :
Nasional

FAMA diarah pasarkan sayur ke kawasan alami kekurangan bekalan – Mohamad Sabu

FAMA diarah memasarkan sayur ke kawasan yang kekurangan bekalan ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diarah mengenalpasti kawasan yang mengalami kekurangan bekalan sayur ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah mengarahkan FAMA memasarkan bekalan bahan makanan berkenaan ke kawasan yang terjejas.

“Kita arahkan FAMA melihat kawasan yang berlaku kekurangan supaya kementerian dapat menggerakkan segera jentera sedia ada untuk kita pasarkan bekalan sayur.

“Sekarang, masalah telur dan ayam agak reda tetapi datang pula masalah sayur.

“MAFS juga membuat kajian data supaya tempat yang berlebihan akan dapat menampung atau dapat membekalkan sayur ke kawasan yang kurang, sekali gus masalah berkenaan dapat diatasi dengan segera,” katanya selepas melawat Loji Pemprosesan Sarang Burung di Taman Perindustrian Pusat Bandar Puchong, semalam.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap kepada media selepas melawat Loji Pemprosesan Sarang Burung Walet di Puchong semalam. – FOTO : NSTP

Mohamad Sabu mengulas isu peningkatan harga sayur disebabkan kekurangan bekalan di seluruh negara terutama di Melaka.

Sementara itu, ditanya mengenai bekalan bahan mentah sempena Ramadan, Mohamad menegaskan bahan mentah lain masih mencukupi di pasaran dan harga masih terkawal.

“Cuma sayur kadang-kadang harga naik terlalu tinggi, kadang-kadang turun, tetapi secara umum masih dapat dikawal, termasuk bekalan telur bagi keperluan musim Ramadan juga stabil.

“Kita juga sedang melihat masalah bekalan daging menjelang raya kerana ramai orang buat kenduri di masjid pada Ramadan.

“Jadi, keperluan bekalan daging perlu dipertingkatkan pada Ramadan sampai ke Hari Raya Aidilfitri,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini