KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendapati harga sayur tanah tinggi Cameron Highlands kini tidak menentu disebabkan faktor pengeluaran dan permintaan semasa.
Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata terdapat kira-kira 23 jenis sayuran jenis daun, buah dan ubi keluaran pekebun di Cameron Highlands dengan pasaran tempatan dan Singapura.
Menurutnya, beberapa sayuran jenis buah kini dijual pada harga ladang melebihi RM5 sekilogram, antaranya tomato, lada bengala merah dan hijau, cili merah minyak, terung panjang, tong ho, tomato serta lik.
Katanya, harga tomato pernah mencecah lebih RM10 sekilogram pada awal tahun ini ketika Tahun Baru Cina berikutan pengeluaran yang berkurangan sedangkan permintaan begitu tinggi hingga tidak mencukupi.
“Kita setiap dua hari sekali merekodkan harga 23 sayuran keluaran pekebun di Cameron Highlands, harga ladang akan mempengaruhi harga jualan runcit.
“Harga ladang kini lebih banyak dipengaruhi oleh pekebun kerana mereka sebagai pengeluar, bagaimanapun mereka tetap akur dengan peraturan yang tetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, cuaca yang tidak menentu juga turut mempengaruhi harga sayuran tanah tinggi dan tanah rendah. Bagaimanapun bekalan sayuran di negeri ini masih mencukupi dan harganya tidak terlalu tinggi.
Saiful berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada masyarakat supaya terbabit dalam sektor pertanian, pelbagai kemudahan disediakan kerajaan. Bagi peserta ladang kontrak FAMA mereka berpeluang mendapat pelbagai kemudahan.
“Kita tidak ingin melihat pengguna terus terbeban dengan harga tidak menentu sayuran di negeri ini, justeru kawalan harga dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Bagi mendapatkan sayuran pada harga lebih rendah dan segar, pengguna boleh ke pasar tani dan program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran FAMA,” katanya.