Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Lebih tiga ribu peminat berjaya disatukan menerusi Konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur, yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam.
Konsert sulung selepas 17 tahun berkarya itu ternyata berjaya menggamit memori peminat yang mengikuti perjalanan kariernya sejak bertapak dalam industri seni.
Membuka tirai dengan lagu hit Mahakarya Cinta, ia seolah membawa peminat mengimbau kembali zaman kegemilangan penyanyi itu.
Lagu kedua, penonton dikejutkan dengan taburan wang kertas dari siling Dewan Merdeka ketika artis itu menyampaikan lagu terbaharunya yang berjudul OK sekaligus menggamatkan suasana.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu turut menampilkan kejutan kedua apabila penyanyi itu mengundang Datuk Seri Siti Nurhaliza yang hadir menyaksikan konsert secara spontan menyanyikan lagu Dirgahayu secara akustik.
Beliau menyajikan lebih 21 lagu buat penonton antaranya ialah Ragaman, Cuba, Bencinta dan Sampai Syurga.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66, penyanyi itu juga menerapkan semangat patriotik dengan mengajak penonton mengibarkan Jalur Gemilang sambil mendendangkan lagu Negaraku.
Ketika sidang media penyanyi berusia 45 tahun itu ternyata puas dengan persembahannya malah memanjatkan kesyukuran.
“Kalau saya nak jujur betul betul mula mula saya nampak tu agak risau jugak tapi masa tu harga telah pun ditentukan but Alhamdulillah harini cukup baik.
“Daripada harga tiket yang orang cakap mahal, saya rasa itu memberi tekanan dari sudut positif, you pay for this so I have to give a good performance (penonton bayar untuk persembahan konsert ini jadi saya harus memberikan yang terbaik),” ujarnya yang ditemui semasa sidang media selepas konsert itu.
Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan akan membuat konsert lagi di masa akan datang selain menanam impian untuk menganjurkan konsert percuma bagi menghargai peminatnya.