comscore
Tumpuan :
Nasional

Faisal makan sendiri seperti biasa, diet tinggi protein jadi keutamaan – Dr Hazwan

SHAH ALAM: Diet tinggi protein menjadi antara ‘santapan’ pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang ketika ini sedang menjalani rawatan susulan kecederaan lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik dalam satu insiden, Ahad lalu.

Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata nutrisi pemain itu menjadi antara keutamaan mereka dengan ketika ini diet lembut menjadi pilihan Faisal yang memudahkannya untuk makan.

“Diet lembut untuk untuk keselesaan Faisal tetapi apa yang paling penting adalah nutrisi yang perlu diambil. Jadi nutrisinya dikawal dan dipantau rapi dengan komposisi nutrisi antaranya membabitkan diet tinggi protein.

“Diet ini akan membantu proses pemulihan Faisal. Diet lembut itu sebagai medium dan itu cara yang lebih selesa untuk Faisal. Faisal makan dengan sendiri seperti biasa.

“Buat masa ini, nutrisi menjadi antara perkara yang perlu kita titikberatkan selain langkah berhati-hati untuk mengelakkan jangkitan,” katanya ketika ditemui di perkarangan sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Hazwan turut menjelaskan penukaran balutan luka adalah proses standard yang perlu dilakukan dalam langkah untuk menjaga luka.

“Ia dilakukan untuk mengekalkan kelembapan kulit selain mewujudkan penghalang untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Sebagai rekod, Faisal akan menjalani pembedahan ketiga dijadual berlangsung pada petang ini.

Perkembangan positif ditunjukkan pemain itu menyaksikan dia akan memasuki fasa rawatan seterusnya membabitkan fasa rekonstruktif (reconstructive) bagi mengubati lecur tahap empat yang dialaminya ketika ini.

Berdasarkan semakan, pembedahan rekonstruktif adalah pembedahan khusus membabitkan pembaikan dan pemulihan struktur anggota badan dengan Faisal akan mengharungi proses ‘skin allograf’ diimport dari Belgium bernilai lebih RM30,000 untuk merawat kecederaan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini