FAIL MAHKAMAH: “Jangan memandang mata dia lama sangat takut nanti terkena pukauan dia”.
Kata-kata itu antara nasihat diterima jurukamera TV3 Gunasegaran Nandacumaran ketika membuat liputan berkaitan kes Mona Fandey di Mahkamah Temerloh pada tahun 1994.
“Ketika saya membuat liputan itu, rakan media menasihati saya berhati-hati dengan Mona sebab dia ada ilmu pukau. Dia boleh pukau, jadi jangan memandang mata dia lama sangat kerana bimbang terkena pukau,” katanya dalam program Fail Mahkamah.
Itu antara pengalaman petugas media yang bertugas membuat liputan antara kes yang paling menggemparkan negara.
“Kes Mona Fandey ini, satu peristiwa hitam. Sampai sekarang pengamal media tidak boleh lupakan. Dia (Mona) sentiasa menghantui pengamal media di mana setiap kali pengamal media melalui Ulu Dong, rumah itu masih ada lagi,” kata Gunasegaran.
Bagi bekas wartawan TV3, Datin Lim Bee Ling kes berkenaan disifatkan terlalu sensasi bukan hanya oleh orang ramai, bahkan dalam kalangan pihak media pada ketika itu.
“Memang ia satu kes jenayah yang mengerikan. Tidak hairan ia banyak menjadi bahan perbualan orang, tidak hairan juga ia menjadi topik berita utama bagi pihak media.
“Tetapi ramai yang masih mengaitkan pasangan suami isteri itu dengan cerita-cerita berunsurkan mistik dan seram yang tidak pernah dibuktikan kebenarannya. Malah ada telah pun disangkal,” katanya dalam program Fail Mahkamah.
Lim Bee Ling turut berkesempatan untuk menemubual Juraimi pada hari-hari terakhir perbicaraan.
“Saya pernah sekali beranikan diri mengajukan microphone kepada Juraimi dan terus bertanyakan soalan, memandangkan hari perbicaraan disambung semula pada Januari tahun depan.
“Juraimi, apakah azam tahun baru Juraimi? Dia terus memandang ke arah kamera dan senyum sambil menjawab, semoga saya panjang umur,” cerita Lim Bee Ling.
Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim kes berkenaan menarik perhatian umum kerana terdapat unsur mistik.
“Timbul cerita Mona ini berjalan dalam penjara tiba-tiba hilang, namun pihak penjara menafikan perkara mistik berkenaan,” katanya dalam program Fail Mahkamah.
Mahkamah Temerloh sebelum ini kelihatan suram, bertukar seakan pesta apabila orang ramai berada di pekarangan mahkamah ketika itu, malah ada mengambil peluang untuk bergambar bersama helikopter yang mempunyai logo TV3.
Setelah 69 hari berkampung di Temerloh, memberikan pelbagai laporan media berkenaan kes Mona Fandey yang berhadapan 76 saksi dan 238 bahan kes yang dikemukakan, petugas media TV3 turut menerima nota ucapan daripada pasangan bomoh Mona Fandey dan Affandi Abdul Rahman.
Antara inti pati yang terkandung dalam nota tersebut adalah “Hidup dalam mimpi tidak sama dengan alam nyata”.
Saksikan imbasan kronologi secara terperinci kes Mona Fandey menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.