comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Di sebalik kes Mona Fandey

Sumber: EKLIK NSTP

FAIL MAHKAMAH: “Saya akan cuba pulang malam ini. Tetapi jika tidak sempat, tidak perlu tunggu.”

Kata-kata itu menjadi pesanan terakhir Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris kepada isterinya pada 2 Julai 1993, sebelum didapati hilang.

Misteri kehilangan itu kemudian membongkar plot jenayah berprofil tinggi, pembunuhan kejam seorang ahli politik yang didalangi penyanyi, Mona Fandey.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, kes berkenaan menarik perhatian umum kerana mempunyai beberapa elemen termasuk unsur mistik.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim

“Kenapa orang tertarik dengan kes ini, ada dua sebab. Pertama, sebab melibatkan ahli politik dan juga seorang yang ‘macam’ selebriti. Kedua, kerana ada unsur mistik di dalamnya,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

[Fakta kes] Dua minggu selepas gagal dikesan, laporan polis mengenai kehilangan Datuk Mazlan dibuat di Balai Polis Raub.

Pihak polis pada mulanya menahan tertuduh pertama, Juraimi Husin kerana dia disyaki menagih dadah dan penahanannya membawa kepada penemuan satu pembunuhan yang di luar jangkauan kewarasan akal fikiran manusia.

Pada 19 Julai 1993, siasatan kehilangan Datuk Mazlan dimulakan dan Juraimi di bawa ke Ulu Dong, Raub, di mana pihak polis merampas pita video, album gambar dan 17 sijil saham milik mangsa.

Sehari selepas itu, Mohd Affandi Abdul Rahman (tertuduh kedua) dan isterinya, Mona Fandey atau nama sebenar Maznah Ismail (tertuduh ketiga) ditahan di sebuah rumah di Wangsa Maju.

Ketika dibawa ke Balai Polis Raub, satu kenyataan oleh Affandi kepada pembantunya, Juraimi, yang membuka segala kebenaran.

“Jadi bila dua pasangan ini dibawa pada 23 Julai itu di balai dan dipertemukan, Affandi sendiri cakap kepada Gondrong (gelaran kepada Juraimi), “Sudahlah, ceritalah perkara yang betul sebab semua orang dah tahu”.

“Jadi, daripada sini lah siasatan itu telah membawa kepada penemuan bukti-bukti yang kukuh yang kemudiannya telah dipanjangkan kepada pendakwa raya” kata Kamal Affandi dalam program Fail Mahkamah.

Ketiga-tiga mereka didapati terbabit dan disabitkan kesalahan membunuh Datuk Mazlan, di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 9 Februari 1995 dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

69 hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi Temerloh, mengukuhkan lagi kes pendakwaan bahawa tertuduh telah membunuh dan motifnya hanya untuk mendapatkan wang dan harta bagi kepentingan mereka.

Saksikan imbasan kronologi secara terperinci kes Mona Fandey menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam ini di TV3 atau strim langsung secara HD di www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini