FAIL MAHKAMAH: Pada mulanya berniat untuk menemani adiknya keluar beriadah berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita, Chee Gaik Yap menjadi mangsa rogol dan dibunuh dengan kejam.
Pada 14 Januari 2006, Chee Gaik Yap ditemui mati berhampiran kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah.
Mangsa yang juga merupakan seorang pegawai pemasaran ditemui dalam keadaan separuh bogel.
Selepas tiga tahun peristiwa pembunuhan Gaik Yap, seorang ahli perniagaan, Shahril Jaafar, yang juga anak kepada individu bergelar ‘datuk’, ditahan bagi membantu siasatan kes.
Bagi perbicaraan kes pembunuhan Gaik Yap yang berlanjutan selama tiga tahun, ia telah melibatkan Kee Wei Lon, yang ketika itu berkhidmat sebagai pendakwa raya.
“Bagi kes ini kita tidak mempunyai saksi mata. Pihak pendakwaan tidak ada saksi mata dan kita cuma ada keterangan dari segi DNA yang mengaitkan OKT dengan kes ini,” katanya dalam program Fail Mahkamah.
Pada 25 Jun 2013, hasil perbicaraan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Shahril Jaafar telah dibebaskan daripada tuduhan membunuh Gaik Yap.
“Mahkamah telah melepaskan OKT di dalam kes ini kerana mahkamah berpendapat bahawa bukti DNA tersebut tidak kukuh, tidak konklusif untuk mengaitkan OKT dan pembunuhan,” kata Wei Lon.
Keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi menyebabkan bapa mangsa, Chee Ah Sau sangat kecewa dan bertindak untuk terjun dari tingkat dua mahkamah, namun tindakan itu telah dihalang oleh petugas media.
Usaha keluarga Chee Gaik Yap bagi menuntut keadilan turut meraih sokongan beberapa orang kenamaan.
Dan akhirnya, usaha pendakwa raya dan rayuan bapa mangsa membuahkan hasil apabila mahkamah rayuan telah mengetepikan keputusan untuk membebaskan tertuduh.
Lebih sembilan tahun menuntut bela, akhirnya bapa mangsa, Chee Ah Sau mampu menarik nafas lega sebaik tertuduh disabitkan hukuman membunuh mangsa.
Saksikan imbasan terperinci kes menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam ini di TV3, atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.