comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahmi ucap takziah kepada keluarga Ahmad Nawab

Hantaran ucapan takziah Fahmi Fadzil buat keluarga Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab di Facebooknya.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga komposer terkenal Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang meninggal dunia petang tadi.

Fahmi dalam hantaran di Faceboook menyifatkan pemergian Seniman Negara itu atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan sebagai kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai harganya.

“Sumbangan Allahyarham dalam bidang berkenaan terlalu besar. Sejak era 1950an, beliau telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album dan melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.

“Allahyarham pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 17 tahun, selain dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006. Kehilangan ini pastinya sangat dirasai, bukan sahaja oleh penggiat industri, tetapi juga peminat, serta pendengar muzik tempatan amnya,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang tadi di kediamannya di Taman Melewar, Gombak dekat sini hari ini.

Berita pemergian Ahmad Nawab disahkan cucunya Teh Suraya Nasir Khan ketika dihubungi Bernama.

Teh Suraya berkata jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia termasuk Uji Rashid, Datuk Khatijah Ibrahim, Sudirman, Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Allahyarham turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sastera daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini