comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahmi sahkan tindakan PUSPAL batal permit Sharul Channa

PUSPAL membatalkan permit Sharul Channa selepas mengambil kira laporan polis membabitkan video memaparkannya didakwa menyentuh isu boleh menjejaskan keharmonian negara. – FOTO: Sharul Channa/ Facebook

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah membatalkan permit ke atas pelawak kontroversi dari Singapura, Sharul Channa daripada membuat persembahan di Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Menurut Fahmi, tindakan itu diambil oleh PUSPAL selepas mengambil kira laporan polis membabitkan video memaparkan pelawak terbabit, yang didakwa menyentuh isu boleh menjejaskan keharmonian negara.

Fahmi berkata beliau sudah menerima laporan daripada Unit PUSPAL yang memperincikan tindakan pembatalan permit yang sebelum ini diberi kepada Sharul untuk beraksi di sebuah premis di Petaling Jaya.

“Saya menerima laporan daripada Unit PUSPAL dan dimaklumkan mereka menerima makluman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat sejumlah laporan polis yang dibuat (ke atas Sharul) baru-baru ini, berhubung video yang baharu dimuat naik,” katanya.

Jelas Fahmi, susulan daripada video dimuat naik itulah, sejumlah laporan polis dibuat di mana laporan polis itu dikatakan ada kaitan dengan isu 3R (raja, agama dan kaum).

Baru-baru ini, Sharul menerusi hantaran video di Facebook (FB) meluahkan rasa kecewa apabila pembabitannya menerusi persembahan komedi, Just Joking di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan PUSPAL, dua hari sebelum acara berlangsung.

Sharul yang dijadual muncul bersama pelawak tempatan seperti Rizal Van Geyzel dan Mad Sabah memberitahu, pembatalan itu berlaku walaupun dia memberi jaminan tidak akan menyentuh isu agama, bangsa atau raja.

Susulan itu, timbul dakwaan mengatakan pembatalannya berkait dengan laporan polis terhadap klip video 2018 yang didakwa menyentuh isu 3R.

Ditanya apakah penjelasan mengenai punca pembatalan permit itu sudah dibuat kepada pihak terbabit, Fahmi percaya PUSPAL sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Saya tidak berada dalam jawatankuasa itu, tetapi, kebiasaannya mereka (Sharul) akan dimaklumkan. Tetapi mungkin saya akan bincang apakah cara yang lebih teliti untuk masa hadapan,” katanya.

Fahmi berharap insiden yang menimpa Sharul dijadikan iktibar kepada artis tempatan dan luar negara agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu sensitif yang mencabar perlembagaan dalam media sosial.

“Bukan hanya kepada artis luar negara, malah, artis tempatan. Di Malaysia, kalau kita sentuh isu 3R, pihak berkuasa akan bertindak.”

“Itu peringatan yang saya beri kepada pengguna media sosial dan artis. Jadi, isu ini dalam bidang kuasa siasatan polis. Sekiranya berlaku siasatan maka kita ambil perkara itu sebagai sebahagian daripada pertimbangan (kelulusan permit),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini