Tumpuan :
Nasional

Fahmi Reza ditahan polis Sabah

Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.

PENAMPANG: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, ditahan polis susulan lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Fahmi atau nama sebenarnya, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, ditahan kira-kira jam 5 petang tadi selepas hadir untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, petang tadi.

Pereka grafik itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dengan Fahmi kini masih disoal siasat polis dan mungkin direman untuk siasatan lanjut.

“Ya, dia ditahan selepas hadir ke IPD Penampang, petang tadi.

“Siasatan masih dijalankan dan reman akan dipohon esok pagi mengikut prosedur Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memudahkan proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi melalui satu muat naik di Facebook petang tadi memaklumkan sudah dihubungi polis, selain mengesahkan beliau dalam perjalanan untuk memberikan keterangan berhubung muat naik poster berkait dengan Musa Aman di Facebook.

“Kalau aku tak update (kemas kini) sebelum jam 8 malam maknanya aku akan tidur lokap malam ni,” katanya.

Petang tadi, Jauteh memaklumkan polis sedang mengesan Fahmi selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.

Beliau berkata, ia susulan laporan polis diterima di seluruh Sabah itu, satu kertas siasatan terhadap individu berkenaan dibuka.

“Setakat ini, kita menerima lebih 30 laporan berkaitan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telah pun dibuka.

“Kita mencarinya untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya dan pihak polis akan memastikan siasatan ke atas kes berkenaan diteruskan,” katanya pada sidang media berkaitan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini