Tumpuan :
Nasional

Fahmi minta nama, logo PKR diturun dari laman web Liberal International

 

Oleh: Juliana Sharin

 

PETALING JAYA: Parti Keadilan Nasional (PKR) telah berhubung dengan Liberal International untuk meminta supaya nama dan logo parti itu dikeluarkan daripada laman web organisasi berkenaan.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa parti itu tiada kaitan langsung dengan pertubuhan berkenaan, dan tindakan memperbetulkan perkara terbabit secara rasmi sedang dijalankan.

“PKR tidak pernah dan bukan ahli dalam Liberal International dan tidak pernah membayar apa-apa yuran keahlian terhadap organisasi politik liberal berkenaan. Nama dan logo PKR perlu diturunkan dalam laman sesawang organisasi politik berkenaan dan itu adalah usaha dilakukan PKR ketika ini,” jelasnya ketika menghadiri satu majlis di ibu negara.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menjelaskan, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam parti sejak 2013 dan tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam kongres mengenai keahlian PKR dalam organisasi terbabit.

“Kebiasaannya, apabila sesebuah parti menjadi ahli mana-mana organisasi, mereka akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan, bagaimanapun perkara itu tidak berlaku,” terangnya.

Tambahnya lagi, Walaupun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menghadiri beberapa acara Liberal International berkenaan atas jemputan, ia tidak bermakna PKR adalah ahli organisasi terbabit.

“Tidak dinafikan bahawa pihak Liberal International pernah datang ke Malaysia sebelum ini dan Presiden PKR pernah menghadiri majlis mereka atas jemputan, malah menerima ucapan tahniah daripada mereka. Bagaimanapun, kehadiran berkenaan adalah bukan sebagai ahli dan ia tidak bermakna PKR adalah ahli dalam Liberal International,” tegasnya.

 

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel.

“PKR bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin serta mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel yang terus menzalimi, menekan dan membunuh rakyat Palestin,” menurutnya dalam hantaran di sosial media semalam.

Loading...
Terkini