GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kini dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ berbentuk mata.
Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, rebah di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas tersedak gula-gula yang dibeli di sebuah gerai berhampiran kawasan kelas tersebut.
Menurut ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, doktor memaklumkan keadaan mangsa masih tiada perkembangan positif setakat jam 10 pagi tadi.
“Doktor memberitahu, jika tiada perubahan hingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan. Kami hanya mampu berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Guru KAFA berkenaan menjelaskan, Mohamad Fahmi tersedak sebelum berjalan ke tandas.
Namun, dia rebah dan tidak sedarkan diri, memaksa guru tersebut menghubungi ambulans.
“Pasukan perubatan yang dihubungi menerusi panggilan video meminta guru memeriksa mulutnya, dan gula-gula itu ditemui tersangkut dalam tekaknya. Kami juga menjumpai sebiji lagi gula-gula serupa dalam poket bajunya,” jelas Siti Farhani.
Ibu bapa Mohamad Fahmi, Nuraini Mat Isa, 37, dan Mohamad Fakhruddin Fikri, 35, dilaporkan dalam keadaan emosi tidak stabil dan enggan memberikan sebarang komen ketika ini.
Kisah ini tular di media sosial selepas Siti Farhani berkongsi hantaran memohon doa orang ramai agar keajaiban berlaku untuk anak saudaranya itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.