comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahmi dedah ada syarikat jual projek pembangunan internet

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan terdapat sejumlah syarikat yang memperoleh projek pembangunan dan menaik taraf internet namun menjualnya kepada pihak lain sehingga menyebabkan projek tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

 

Tidak memperincikan syarikat dan lokasi projek tersebut, namun beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti serta melaksanakan penambahbaikan kepada pelaksanaan projek berkenaan.

“Ada di beberapa tempat dan setelah mereka dapat kontrak, mereka tak laksanakan sehingga kami bagi amaran yang paling keras malah saya lihat dia yang dapat (projek) tapi dia mengaku dia jual kepada syarikat lain, macam mana syarikat itu dapat dahulu?

“Malangnya banyak keputusan ini sebelum saya, Timbalan Menteri Komunikasi (Teo Nie Ching) dan KSU masuk ke kementerian ini. Kami tidak tahu bagaimana keputusan itu dibuat.

“Kita telah minta mereka supaya mempercepatkan proses sekiranya mereka gagal maka ada tindakan berpandukan undang-undang yang boleh diambil,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, kementerian mempertimbang untuk menyenaraihitamkan syarikat yang gagal melaksanakan projek pembangunan dan menaik taraf internet dalam garis masa ditetapkan.

Jelasnya, tindakan tersebut bagi memastikan projek berkenaan diurus dengan baik bagi mengelak ketirisan dan kelewatan kerana membabitkan duit rakyat.

“Saya lihat apa yang dilakukan sebelum ini (iaitu) menyerahkan jumlah (projek) yang terlalu besar kepada sebilangan kecil (syarikat) ini membahayakan bukan sahaja integriti, tapi juga pelaksanaan.

“Bila terlalu banyak projek yang diusahakan oleh satu syarikat sahaja, sudah tentu syarikat itu tidak mampu melaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan jadi kita minta hal ini supaya diteliti semula.

“Syarikat yang mendapat projek perlu menunjukkan kemampuan, kegagalan untuk melaksanakan projek seharusnya kita ambil tindakan yang lebih tegas dan pantas. Saya beri contoh beberapa projek sepatutnya siap Disember 2022 tapi sehingga hari ini masih tak siap lagi. Bagaimana syarikat itu dilantik?

Saya pun tak tahu,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Komunikasi turut meneliti dasar pelaksanaan projek di Sarawak yang diberikan Jabatan Kerja Raya negeri iaitu memastikan ia berjalan dan kontraktor perlu hadir di tapak projek dalam tempoh sebulan setelah projek diberikan.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kontrak berkenaan dibatalkan.

“Bila ada orang mengadu masalah internet tiada, mereka salahkan saya, Timbalan Menteri dan kementerian tapi sejujurnya kesilapan itu ataupun sebahagian daripada masalah adalah kepada kontraktor yang telah dilantik, syarikat yang telah menerima kontrak untuk projek tersebut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini