comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahami perbezaan konsep perancangan keluarga dan ‘childfree’

Oleh: Azzarouq Zulkiply

Kebelakangan ini, topik berkaitan ‘childfree’ menjadi perbualan di media sosial selepas wujudnya kandungan berbentuk pendedahan pasangan muda yang menyatakan pilihan hidup mereka untuk tidak memiliki anak.

Menurut Pensyarah Pembangunan Komuniti dan Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon, ‘childfree’ bukan fenomena baharu dan telah dipopularkan oleh aktivis feminisme di negara barat sejak 1920-an.

Pensyarah Pembangunan Komuniti dan Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon.

Tambahnya, rakyat Malaysia perlu membezakan antara ideologi ‘childfree’ dan juga konsep perancangan keluarga kerana rata-rata masyarakat mungkin salah faham atau keliru tentang perbezaan kedua-dua konsep ini.

“Pertamanya saya rasa kita di Malaysia ada salah faham sedikit tentang perancangan keluarga dan juga ‘childfree’.

“Kerana rata-rata di media sosial mengatakan pada awalnya mereka tidak mempunyai perancangan untuk mempunyai anak, akan tetapi pada masa akan datang, mereka hendak mempunyai anak. Itu merupakan perancangan keluarga.”

“Hal ini berbeza dengan ‘childfree’. ‘Childfree’ ini merujuk kepada pasangan yang memang tidak mahu ada anak langsung.

“Maknanya perkahwinan itu hanya mereka berdua sahaja dan tidak berfikir atau berusaha untuk mendapatkan anak.

“Namun pada masa kini, kedua-kedua konsep ini sudah bercampur aduk, sehingga ada yang mengatakan ianya adalah pilihan sedangkan pasangan yang hendak hidup ‘childfree’ sememangnya tidak ada keinginan untuk mendapatkan anak.” kata Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon dalam program Malaysia Hari Ini (MHI).

Tambahnya, ideologi sedemikan perlu dikekang dengan lebih memahami konsep perancangan keluarga.

“Kalau kita merancang (keluarga) itu mendatangkan kebaikan kepada kita. Ia tidak menafikan kita untuk memiliki anak. Mungkin ada tuntutan keluarga dan tuntutan hidup yang perlu didahulukan.

“Tetapi bila dikonotasikan konsep perancangan keluarga sebagai sama seperti ‘childfree’, fenomena ini agak menggusarkan. Kerana ada yang suka menggunakan istilah-istilah tanpa memahami konsep sebenarnya,” katanya.

Setiap individu mempunyai peranan yang ‘berlapis-lapis’ dan dalam memikul tanggungjawab berkenaan memberikan satu tekanan dan bebanan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan berkata, masyarakat seharusnya menganggap apa yang berlaku sebagai satu bentuk cabaran, tanggungjawab dan amanah.

“Apabila kita tidak memegang kepada nilai-nilai ini menyebabkan kita mengambil nilai-nilai negatif dan menghalang untuk meneruskan kehidupan seperti seorang insan,” katanya

Ustaz Wan Helmi Wan Mohamed, pendakwah bebas.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Wan Helmi Wan Mohamed, dari segi agama Islam, perkahwinan itu adalah satu ibadah yang terpanjang, panjang daripada ibadah solat, berpuasa, menunaikan zakat dan haji. Ia merupakan ibadah seumur hidup.

“Daripada perkahwinan itu akan melahirkan satu amalan jariah yang berkekalan. Sebelum kita meninggal dunia pun amalan itu sedang berjalan daripada ibu melahirkan anak, membesarkan anak, sehinggalah ibu meninggal dunia, anak juga yang akan menjadi penerus perjuangan ayah.

“Jika kita meninggalkan anak yang soleh, maka anak tersebut akan meneruskan perjuangan kita dan bakal mendoakan kita.” kata Ustaz Wan Helmi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), anggaran bilangan kanak-kanak bawah 18 tahun pada 2023 ialah 9.13 juta (27.4 peratus) daripada jumlah populasi di Malaysia berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 9.19 juta (28.1 peratus) kanak-kanak bawah 18 tahun. Ini menunjukkan trend penurunan dari tahun 2022 ke 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini