Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Fahami istito’ah, tidak berdosa jika tiada kemampuan pergi haji – Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd Sukki Othman.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji dinasihatkan untuk memahami konsep istito’ah iaitu mempunyai kemampuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd Sukki Othman berkata, ia tidak berdosa seandainya mana-mana individu tidak mampu untuk mengerjakan haji atas faktor kewangan, kesihatan dan perjalanan yang aman.

“Jadi kemampuan itu dalam pelbagai aspek, antaranya kewangan, kesihatan dan perjalanan yang aman serta ada kenderaan pergi balik.

“Dari sudut kewangan, mereka yang mempunyai kewangan yang cukup untuk melaksanakan ibadah haji dan juga nafkah untuk ditinggalkan kepada tanggungan mereka sepanjang mereka berada di Tanah Suci, maka mereka yang ada kemampuan itu diwajibkan untuk melaksanakan ibadah haji.

“Jika orang itu tidak mempunyai wang yang cukup, maka dia tidak diwajibkan haji sehinggalah ia mampu dari konteks kewangan. Ini juga termasuk dari konteks lain termasuk kesihatan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki menyatakan bantuan yang diberikan ketika ini adalah peluang untuk mereka melaksanakan ibadah berkenaan.

“Bantuan atau subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan Tabung Haji (TH) kepada para jemaah haji itu merupakan satu peluang kepada mereka yang kurang kemampuan untuk melaksanakan ibadah.

“Namun begitu bantuan berkenaan mungkin akan berkurangan dari semasa ke semasa, mungkin suatu hari nanti setiap individu mesti bersiap sedia jika bantuan itu tidak diberikan.

“Oleh itu, mereka yang benar-benar mampu sahaja yang akan melaksanakan ibadah berkenaan,” ujarnya.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Syed Hamadah Syed Othman sebelum ini memaklumkan bayaran haji bagi tahun 2025 naik 20 peratus bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

Bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini