PUTRAJAYA: 277 daripada 533 permohonan kakitangan MyAirline Sdn Bhd (MyAirline) untuk mendapatkan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah diluluskan setakat semalam.
Selebihnya masih dalam siasatan serta semakan.
Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar berkata, kementerian prihatin dalam memastikan kakitangan MyAirline tidak tertindas dan teraniya dengan masalah dihadapi mereka.
Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga sudah menghubungi pekerja bagi mendapatkan maklumat dan pada masa PERKESO juga telah melakukan perkara yang sepatutnya bagi membantu mereka.
Menerusi SIP, mereka layak menerima faedah kewangan tiga hingga enam bulan bergantung kepada jumlah caruman, bantuan perkhidmatan pekerjaan dan latihan.
Katanya, ketika ini status pekerjaan mereka masih tergantung dan sekiranya telah diberhentikan kerja, maka mereka layak menerima faedah daripada PERKESO.
“Kementerian dalam proses mendapatkan kepastian, sama ada mereka ini benar-benar telah diberhentikan kerja atau tidak ataupun syarikat ini akan beroperasi semula,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan PERKESO Run & Ride 2023 di Dataran Wawasan Presint 2 di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Setiausaha (KSU) KSM, Datuk Amran Ahmad; Timbalan Ketua KSU, Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan operasinya berikutan tekanan kewangan.
Sivakumar berkata, KSM akan memastikan kakitangan MYAirline ini benar-benar diumum diberhentikan atau menerima surat pemberhentian kerja bagi membolehkan kementerian membuat keputusan seterusnya.
Menurutnya, status tergantung kerja menyukarkan kementerian membuat sebarang keputusan sama ada syarikat itu tidak akan beroperasi lagi atau ada usaha lain bagi meneruskan perniagaan itu.
“JTK juga sudah berbincang dengan pengurusan MyAirline bagi menyelesaikan isu dua bulan gaji tertunggak sejak September lalu yang masih belum dibayar kepada pekerja,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] MYAirline gantung operasi berkuat kuasa hari ini
- MYAirline terima 15 cadangan pelabur berpotensi, 2 dalam rundingan
- [VIDEO] Pekerja MYAirline buat laporan polis, nasib tergantung
- Mavcom buka siasatan, beri surat tunjuk sebab kepada MYAirline
- 4 lagi ditahan bantu siasatan berkaitan MYAirline
- MAVCOM gantung lesen perkhidmatan udara MYAirline
- Kakitangan MYAirline diminta segera fail tuntutan baki gaji di JTK