comscore
Tumpuan :
Nasional

Fadillah ikrar laksana amanah sebaik mungkin di kementerian baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab di Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Beliau yang dilantik menerajui kementerian itu hari ini berkata, tekad dan iltizam sama diteruskan seperti mana beliau memegang jawatan menteri di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selama setahun dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai tanggungjawab bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak, menurut Fadillah, keutamaan akan diberikan dalam meneruskan usaha menyelesaikan segera isu tertunggak dan meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di tempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai barisan Kabinet baharunya terdiri daripada 31 menteri dan 29 timbalan menteri.

Anwar turut mengumumkan Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, menggantikan Fadillah.

Pada masa sama, Fadillah turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat dari pengurusan tertinggi, pegawai dan warga kerja KPK di atas kerjasama terbaik serta komitmen penuh yang diberikan.

“Berikanlah kerjasama serupa kepada pengganti saya, Johari selepas ini. Saya juga ingin mengajak semua barisan Kabinet yang baru diumumkan untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam Kerajaan Madani dalam mendepani 2024 dan tahun seterusnya yang dijangka akan lebih mencabar,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, rombakan Kabinet dilakukan bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi dilihat lebih ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, pelantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.

“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet, kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri. Ini amat penting untuk kita mengerakkan dan memperkukuh ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil.

“Saya juga percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Fadillah turut meminta rakyat supaya bersama-sama membina Malaysia MADANI yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, tanpa mengira bangsa, agama serta merentasi fahaman politik.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini