Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Fadhlina minta jangan ganggu ekosistem sekolah 

Foto ihsan RTM

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta agar mana-mana pihak termasuklah pemimpin di blok pembangkang atau kerajaan untuk tidak mengganggu ekosistem sekolah.

Katanya Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan mendidik ekosistem sekolah dengan nilai kemanusiaan, kedamaian dan keamanan.

Dalam menegaskan perkara itu beliau kelihatan sebak dan berharap agar diberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawab dan mengutamakan proses pendidikan bagi menyebarkan nilai kemanusiaan.

“Nirmala kemanusiaan adalah asbab utama mengapa KPM mahu tampil melaksanakan minggu solidariti ini.

“Anak-anak yang didedahkan dengan seribu satu emosi, memerlukan pandungan dan pedoman dalam menavigasi emosi ke arah yang lebih murni.

“Ini bukan soal siapa yang terpaling Palestin. Ini bukan soal siapa yang tunduk kepada desakan-desakan dan dangkal dalam soal memilih kemanusiaan. Ini bukan soal itu.

“Justeru, KPM menyahut seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pendirian kerajaan Malaysia untuk turut bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

“Jadi sebab itu jangan ganggu ekosistem sekolah ini. Sekolah ini dinamik sifatnya, ada pelbagai kepercayaan, ada pelbagai latarbelakang dan kedinamikan ini hanya ada pada guru untuk mengenal pasti apakah program yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Loading...
Terkini