Tumpuan :
Nasional

Fadhlina beri amaran sekolah sorok kejadian buli

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beri amaran kepada pengurusan sekolah jangan sorok kes buli.-FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi amaran terhadap mana-mana pengurusan sekolah supaya tidak menyembunyikan sebarang kes buli.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, sebarang insiden buli di sekolah mempunyai garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kita minta untuk diselesaikan mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang telah pun kita (KPM) keluarkan dan juga melibatkan maknanya proses keseluruhan melibatkan keadilan kepada pihak-pihak kepada pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media khas SPM 2024 hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes buli membabitkan sebuah asrama penuh baru-baru ini yang menyaksikan mangsa dibuli ala komando.

Mengulas lanjut, pihaknya mengambil maklum berhubung isu berkenaan namun tidak memperincikan dengan lebih lanjut berhubung tindakan terhadap kes berkenaan.

“Masih dalam proses siasatan. Saya tegaskan semula bahawa kita tidak kompromi dalam soal buli ini jadi tindakan dan juga semua proses yang terkait rapat dengan buli ini mestilah melalui prosedur yang telah pun kita tetapkan.

“Kita mohon untuk aduan ini dibuat di bawah portal Aduan Buli di bawah KPM dan prosedur di bawah Aduan Buli ini lebih jelas kerana kita akan maklumkan terus kepada pengadu apa tindakan-tindakan yang telahpun kita ambil,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, laporan Sinar Harian menyatakan seorang pelajar senior dari asrama berkenaan telah bertindak membuli seorang pelajar junior dengan perbuatan yang agak keterlaluan termasuk menggunakan air panas sehingga menyebabkan mangsa melecur di bahagian kaki.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini