Kuala Terengganu: Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat mengesahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berada di New Zealand.
Laporan sebuah portal memetik Hanafiah yang juga Adun Chukai sebagai berkata, Ahmad Samsuri memang berada di Auckland dan akan pulang pada hari ini.
“Insya-Allah menteri besar akan balik dari New Zealand hari ini, tapi jam berapa, tidak dapat dipastikan,” katanya dipetik sebuah portal.
Menurut Hanafiah, Kerajaan Terengganu berpendapat, tidak timbul apa-apa isu berhubung cara pengurusan banjir di negeri itu dijalankan walaupun menteri besar tiada.
“Sebagai timbalan pengerusi pengurusan bencana negeri, saya sangat berpuas hati di semua lapangan dan pusat penempatan sementara.
“Semua exco dan juga wakil rakyat juga memainkan peranan dengan sangat baik,” ujarnya .
Malam tadi, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.
Dia juga mendakwa mempunyai bukti menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland.
Menurut Lokman, Ahmad Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Disember dan hanya dijangka pulang pada 22 Disember (esok).
Spekulasi mengenai keberadaan Ahmad Samsuri heboh diperkatakan berikutan dia tidak kelihatan semasa Presiden PAS Abdul Hadi Awang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu semalam.
Kelibat bekas pensyarah universiti itu juga tidak kelihatan ketika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di negeri itu pada hari sama.
Setakat pagi ini, lebih 40,000 mangsa banjir ditempatkan di 297 pusat pemindahan banjir di Terengganu.