Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju kenderaan elektrik (EV) akan dijadikan kenderaan rasmi untuk membawa pemimpin-pemimpin ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet baru-baru ini sebagai insiatif menyokong usaha negara dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui.
“Menariknya (Mesyuarat) Kabinet baru-baru ini memutuskan semua pemimpin negara (ASEAN) yang dulu menerima kenderaan mewah untuk membawa mereka, apa yang berlaku sekarang, jika kita serius mengenai kemampanan dan peralihan tenaga, mari kita tunjukkan bahawa di Malaysia, semua kenderaan yang disediakan kepada pemimpin kerajaan, menteri-menteri, pegawai-pegawai hanya menggunakan EV,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk ‘Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi yang Mampan dan Inklusif’, di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan menggunakan kenderaan berkenaan juga lebih murah berbanding kenderaan lain dan saiznya yang lebih kecil.
“Kita akan maklum kepada kepala (pemimpin) negara, kami memang nak sedia kereta lebih besar tapi kereta EV paling besar cuma ini saja, sila gunakan dan berpuas hati dengannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi matlamat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya jawatan Pengerusi ASEAN bagi membawa manfaat kepada negara dan memperkukuhkan perpaduan ASEAN.
“Agenda ASEAN 2025 adalah bercita-cita tinggi. Adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN secara keseluruhannya untuk meraih manfaat maksimum daripada usaha-usaha ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.