BERLIN: Pertembungan ‘heavy weight’ tuan rumah Jerman menentang Sepanyol pada fasa suku akhir Euro 2024 yang bermula Sabtu ini, paling menjadi tumpuan.
Jerman yang dibimbing Julian Nagelsmann cukup sedar inilah peluang terbaik untuk mencatat kemenangan ke atas Sepanyol selepas kali terakhir melakukannya pada 1988.
Bagi ketua pasukan Ilkay Gundogan pasukannya tidak perlu lagi ‘bersembunyi’ menentang Sepanyol.
“Sebagai satu pasukan kami boleh menyaingi mereka. Kami juga mempunyai kualiti yang berlebihan.
“Saya fikir Sepanyol lebih menghormati kami daripada apa yang mereka akui secara khalayak.” kata Gundogan.
Jerman, yang memenangi Euro sebanyak tiga kali, mara ke pusingan 16 selepas muncul juara Kumpulan A namun dipaksa berhempas pulas dengan gol penyamaan lewat menentang Switzerland sebelum mengalahkan Denmark 2-0 untuk ke suku akhir.
Sepanyol pula yang muncul satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan meneruskan kecemerlangan menundukkan Georgia 4-1 pada pusingan 16 terakhir
Apa yang pasti Jerman memerlukan benteng kukuh untuk menyerap asakan Sepanyol dan mungkin menjadi penentu keputusan pertembungan itu.
Antara pemain Sepanyol yang perlu diawasi dua pemain muda Lamine Yamal dan Nico Williams yang membentuk gandingan mantap sering memperdayakan lawan.
Jerman juga berdepan rekod buruk tidak menang dalam tempoh 36 tahun pada kejohanan utama menentang Sepanyol dengan kemenangan terakhir mereka adalah pada Euro 1988.
Bagi jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente meskipun mengakui memiliki pasukan terbaik tetapi dia tidak sesekali memperkecilkan pasukan lain.
“Kami akan berjuang untuk merebut kejuaraan dan kami sedar siapa yang akan kami tentang, Jerman.
“Ia jentera Jerman yang amat dikenali. Ia akan menjadi perlawanan yang amat sengit, tetapi kami amat yakin dengan permainan kami.” kata jurulatih Sepanyol itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.