Tumpuan :
Nasional

EU iktiraf industri sawit Malaysia – Johari Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Pekeliling Kompetitif EU, Jessika Roswall di Belgium.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf usaha industri sawit negara dalam meningkatkan tahap kemampanan secara keseluruhan, terutama skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menjamin pengeluaran minyak sawit mampan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Pekeliling Kompetitif EU, Jessika Roswall di Belgium.

Roswall adalah individu yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang sedia ada EU berkaitan alam sekitar seperti Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Dalam pertemuan itu, Johari berkata, pihaknya turut berkongsi perkembangan semasa mengenai industri minyak sawit Malaysia serta komitmen negara terhadap agenda kemampanan dunia.

“Roswall mengiktiraf usaha industri minyak sawit Malaysia dalam meningkatkan tahap kemampanan industri sawit secara keseluruhan, terutama skim MSPO dalam menjamin pengeluaran minyak sawit mampan.

“Malaysia juga menjemput Roswall membuat lawatan ke Malaysia untuk melihat sendiri operasi perladangan dan pensijilan kemampanan industri sawit negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Hafizin Tajudin.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa ketika ini mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lawatan kerja dua hari ke Belgium serta bertemu pemimpin EU.

Selain Johari, lawatan Anwar itu turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini