comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Etika pemakaian jururawat jelas, fokus penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai etika pemakaian yang jelas dan sudah ditetapkan, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Berikutan itu, katanya, isu pakaian jururawat hospital awam di negara ini yang dikatakan ketat dan tidak mematuhi syariah, tidak perlu diperbesarkan.

Katanya, apa yang lebih diberikan keutamaan oleh KKM kini adalah soal penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya sebenarnya sudah menjawab hal ini dan pada saya jika lihat pada pakaian jururawat ini ada etika yang jelas.

“Pada saya, ia tiada masalah, kerana yang paling penting ialah kita memberi keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Projek Bangunan Baharu Makmal Patologi, HSA; Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur, Segamat di HSA, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Zalina diminta mengulas kenyataan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, KKM akan memaklumkan pencapaian dan aspirasi kesihatan awam kepada rakyat menerusi strategi komunikasi yang diwujudkan.

“Saya tahu ramai kurang maklum perkara ini (Kertas Putih Kesihatan), tetapi paling penting ia sudah lulus dan kita akan sampaikan kepada rakyat supaya mereka faham dan tahu kepentingan kesihatan,” katanya.

Loading...
Terkini