Tumpuan :
Nasional

Estet Mini Lada Hitam Dirancang Di Sarawak


KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi merancang untuk membuka estet mini khusus bagi penanaman lada hitam di negeri ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata usaha itu perlu dilaksanakan kerana ketika ini penanaman lada hitam hanya dilakukan oleh pekebun kecil.

Beliau berkata, dengan pembukaan estet mini, pengeluaran lada hitam dijangka dapat digandakan kerana menerusinya penggunaan teknologi moden juga boleh dimanfaatkan.

“Kaedah estet mini memudahkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) membantu pekebun seperti pengagihan bantuan yang lebih bersistematik selain membolehkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan produk lada hitam Saraspice dan perasmian pejabat baharu Saraspice di iCom Square, di sini, hari ini.

Ketika ini, Sarawak menyumbang kira-kira 98 peratus pengeluaran lada hitam di Malaysia membabitkan kira-kira seramai 70,000 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan penanaman lada dianggarkan seluas 15,000 hektar keseluruhan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, berikutan hasrat untuk membuka estet mini penanaman lada hitam itu, pihaknya memohon kerajaan Sarawak untuk menyumbang tanah untuk tujuan itu.

“Kami berharap Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) mempertimbangkan sewajarnya permohonan MPB untuk mendapatkan tanah untuk penanaman lada hitam.

“Kita memerlukan lebih banyak tanah untuk perladangan lada kerana sektor ini mempunyai potensi yang besar, sebab itu kita memerlukan bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dari negara luar dan saya amat pasti Malaysia boleh menjadi pengeluar lada hitam berkualiti nombor satu,” katanya sambil menambah harga lada gred tertinggi kini mencecah hingga RM75,000 satu tan.

Sementara itu mengenai masalah kekurangan pekerja di sektor perladangan kelapa sawit, Zuraida berkata, pihaknya yakin ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sejak pekerja asing khususnya dari Indonesia dibenarkan masuk semula ke negara ini, kini kira-kira 42,000 pekerja sudah mengisi kekosongan dalam sektor perladangan sawit.

“Kita memerlukan sekurang-kurangnya 250,000 pekerja dalam sektor perladangan sawit dan saya yakin jumlah itu akan dapat diisi dengan kemasukan semula pekerja asing,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini