comscore
Tumpuan :
Nasional

ESSCOM lancar Op Gasak Laut lumpuhkan jenayah rentas sempadan

Pasukan keselamatan bersiap melakukan OGL Khas di perairan Kudat. FOTO: Ihsan ESSCOM

KUDAT: Bagi melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan (JRS) selain membasmi lokasi ‘staging point elemen’ JRS, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah melancarkan Op Gasak Laut (OGL) Khas secara besar-besaran.

Lokasi OGL itu dijalankan di Kampung Sibogo Pondoh, Pulau Bankawan, pada 16 Oktober lalu.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, seramai 228 individu dan 200 rumah termasuk premis diperiksa secara bersepadu oleh pihak berkuasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“OGL khas ini dilaksanakan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengekang elemen JRS.

“Ia membabitkan penyeludupan kontraban dan barang kawalan serta kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya amat memandang serius akan aduan awam berhubung kesalahan-kesalahan di atas.

“Oleh itu, OGL khas ini menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran untuk melumpuhkan mobiliti kegiatan JRS selain membasmi lokasi staging point elemen JRS.

“Di samping itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan, menjamin keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam kawasan perairan dan pesisir pantai daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah JRS terutama di ESSZONE bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat agenda Malaysia Madani dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah ESSZONE bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu keselamatan dan kesejahteraan awam di Pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini