comscore
Tumpuan :
Nasional

ESC KLIA Terminal 2 dibuka, permudah pengeluaran pas imigresen kepada ekspatriat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Susulan kejayaan memudahkan pengeluaran pas imigresen dalam kadar segera kepada ekspatriat untuk mereka bekerja secara sah di negara ini, satu lagi Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin pembukaan ESC itu membuktikan komitmen Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dalam memudah cara urusan imigresen, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

“Malaysia telah merekodkan peningkatan bilangan ekspatriat dan ini telah menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi salah satu destinasi pilihan bagi syarikat multinasional dan pelabur.

“Peningkatan kemasukan ekspatriat dengan pelaburan ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara selain menjana peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ESC Terminal 2 hari ini.

Jelasnya, ESC berkenaan beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari sejak 4 Jun lalu dengan empat pegawai ditempatkan bagi penugasan secara bergilir-gilir.

Sehingga Sabtu lalu, ESC KLIA Terminal 2 telah mengeluarkan sebanyak 72 pas.

“Bagi tahun 2023, sebanyak 10,703 pas telah dikeluarkan oleh ESC KLIA Terminal 1 berbanding 5,000 pas pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 100 peratus. Manakala setakat 21 Julai lalu, sebanyak 6,625 pas telah dikeluarkan (tahun ini).

“Secara keseluruhannya, sehingga 21 Julai 2024, sejumlah 22,462 pas Imigresen telah dikeluarkan termasuk pas yang dikeluarkan menerusi ESC KLIA Terminal 2, dengan purata 714 pas disahkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Menurutnya, bilangan ekspatriat tertinggi adalah dari India, negara Eropah dan China dengan sektor pekerjaan mereka adalah pendidikan, kejuruteraan, pembuatan serta minyak dan gas.

ESC berperanan sebagai pusat pengeluaran pas imigresen untuk ekspatriat, profesional dan tanggungan mereka, membenarkan tinggal dan bekerja serta-merta di negara ini serta memintas tempoh menunggu 30 hari sebelumnya.

Jenis pas yang dikeluarkan adalah Pas Penggajian (EP), Pas Tanggungan (DP), Pas Lawatan Ikhtisas-Pakar (PLIK), Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS), Pas Residen-Talent (RP) dan Pas Tanggungan Residen-Talent.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini