Tumpuan :
Nasional

Erdogan tuntut Israel bayar pampasan AS$100 bilion kepada Gaza

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyampaikan syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Foto NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Turkiye menuntut Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kehancuran di Gaza, dengan anggaran kerugian mencecah AS$100 bilion.

Presidennya Recep Tayyip Erdogan menegaskan Israel mesti membayar harga atas kemusnahan yang mereka lakukan serta memberi pampasan bagi membiayai proses pembinaan semula Gaza.

“Israel dan kerajaan Netanyahu mesti bertanggungjawab atas kehancuran ini. Setiap kemusnahan yang tidak diberi pampasan hanya akan menjadikan pelakunya semakin ganas.

“Setelah menyebabkan begitu banyak kehancuran, penderitaan dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya dalam Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tambahnya, Netanyahu sepatutnya mencari sumber untuk membayar ganti rugi tersebut, bukannya mencari tempat untuk rakyat Gaza selepas 15 bulan serangan berterusan.

“Selepas menyebabkan banyak kemusnahan, penderitaan yang besar, dan kekejaman yang dahsyat ini, Israel tidak boleh dibiarkan meneruskan perjalanannya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Oleh itu, daripada mencari tempat untuk penduduk Gaza yang tidak dapat dicabutnya dari tanah mereka walaupun selepas 15 bulan pembunuhan beramai-ramai, Netanyahu harus mencari sumber untuk menampung AS$100 bilion kerosakan yang dilakukannya di Gaza,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erdogan turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau juga berkata, Turkiye akan menyokong penuh peranan Malaysia terutama dalam memperjuangkan isu berkait dengan dunia Islam.

“Saya berharap kepimpinan Malaysia dalam tempoh ini akan menjadi pemangkin dalam memperkukuh hubungan antara negara kita dan ASEAN.

“Kami sentiasa bertindak dalam solidariti penuh dengan Malaysia dalam banyak isu, terutama yang melibatkan dunia Islam. Saya amat menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini