Tumpuan :
Nasional

Erdogan akan dianugerah doktor kehormat UM dalam lawatan 2 hari ke Malaysia

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijadual memulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula esok.

Pertemuan Erdogan dan rakan karibnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membincangkan pelbagai perkara termasuk usaha untuk membangunkan semula Semenanjung Gaza, seiring peranan penting serta pengaruh Turkiye di Asia Barat ketika ini.

Selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2 petang esok, Erdogan akan diberi penganugerahan doktor kehormat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Canselor Universiti Malaya (UM) yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Erdogan.

Penganugerahan ini satu penghormatan tertinggi UM terhadap sumbangan penting beliau dalam bidang diplomasi global, perundingan antarabangsa serta hubungan geopolitik.

Pemimpin berusia 70 tahun yang sudah memimpin Turkiye menghampiri dua dekad, akan menyampaikan syarahan umumnya sebaik selepas majlis penganugerahan berkenaan.

Istiadat sambutan rasmi sempena lawatannya ke Malaysia akan diadakan pada Selasa di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Ia kemudian disusuli pertemuan empat mata antara beliau dan Anwar, diikuti mesyuarat dua hala antara Malaysia dan delegasi dari Turkiye serta acara simbolik penyerahan kenderaan elektrik.

Usai pertemuan dan mesyuarat dua hala, Erdogan dan Anwar dijadual menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bersama.

Mengakhiri lawatannya, Erdogan akan menghadiri Forum Perniagaan berlangsung di PICC.

Kali terakhir pemimpin Turkiye itu ke Malaysia adalah pada Disember 2019 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang bertujuan menangani isu-isu yang membelenggu ummah dan dunia Islam.

Malaysia dan Turkiye sudah menjalin kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, pendidikan, industri penerbangan serta digitalisasi melalui teknologi percetakan.

Malaysia juga pernah menghulurkan bantuan, menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa susulan kejadian gempa bumi terburuk yang melanda negara itu pada Februari 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini