KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memakllumkan enrolmen murid dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan peningkatan daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 45.73 peratus tahun ini.
Menterinya Fadhlina Sidek, berkata ia hasil pelbagai langkah proaktif KPM termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid menerusi pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum.
Jelasnya ia juga bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang berkenaan serta memberi kesedaran kepada ibu bapa dan orang awam terhadap aliran itu.
“Usaha meningkatkan kompetensi guru dalam pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah juga merupakan antara langkah yang dilaksana bagi meningkatkan minat murid, seterusnya mendorong mereka memilih aliran STEM di peringkat yang kajian lebih tinggi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau Kamal Ashaari, berkenaan langkah kementeriannya dalam menangani isu peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017 hingga 2022 yang mencatatkan penurunan 45.2 peratus kepada 40.94 peratus.
Fadhlina berkata KPM sentiasa memberi perhatian kepada kesediaan infrastruktur untuk menyokong pendidikan STEM seperti diumum dalam Belanjawan 2024 iaitu sejumlah RM 100 juta disediakan untuk pemerkasaan STEM, khusus untuk tujuan selenggara dan naik taraf makmal komputer selain perolehan peralatan baharu.
Tambahnya usaha berkenaan memperlihat langkah kerajaan bagi menyokong pendidikan itu dengan tambahan peruntukan sebanyak RM254 juta juga telah diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah.
Selain itu bertujuan ubahsuai naik taraf Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dalam Rolling Plan ketiga.