Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Enjin bot rosak, kumpulan pemancing ditemui selamat

 

TAWAU: Sebuah bot yang membawa sekumpulan lapan pemancing dan dilaporkan hilang di kawasan perairan Inderasabah awal pagi kelmarin ditemui selamat petang semalam.

Kesemua mereka iaitu Hasbin Mahmud, 48, (juragan bot) bersama pemancing, Mapiase Palilu, 53; Sabaruddin Sahuna, 37; Mohd Fadlizan Japar, 31; Abdul Razak Abd Rahman, 51; Darwis Andi Permata, 46, dan Kong Fun Voo@Mohd Yusof, 49 warga tempatan manakala seorang lagi Luesanti Narksanga, 41, pemegang pasport warga Thailand.

Kumpulan pemancing yang dilaporkan hilang ditemui selamat kira-kira jam 5.33 petang semalam. Foto NSTP/Ihsan APMM

Mereka ditemui pasukan mencari dan menyelamat di kedudukan 7.6 batu nautika Barat Laut Pulau Sipadan kira-kira jam 5.35 petang.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata bot dinaiki kumpulan pemancing terbabit dipercayai mengalami masalah enjin dan hanyut sehingga terputus jaringan komunikasi.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka bagaimanapun berjaya menghubungi pasukan keselamatan dan memaklumkan lokasi bot sebelum diselamatkan oleh pasukan SAR bersama aset carilamat dan seterusnya dibawa ke Pos Maritim Inderasabah.

“Sejurus menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) kita turut mengaktifkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pos Maritim Inderasabah bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan media di sini lewat malam tadi.

Tambah Amiludin, seramai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak bagi operasi menyelamat itu.

Terdahulu media melaporkan kesemua pemancing berkenaan dikhuatiri hilang apabila dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas keluar memancing di kawasan perairan Inderasabah, pada awal pagi Ahad.

Loading...
Terkini