comscore
Tumpuan :
Nasional

Enggan beri kerjasama, sukarkan JPN keluarkan kad pengenalan 4 beradik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sukar mempertimbang permohonan empat beradik yang dinafikan hak bersekolah disebabkan tiada kad pengenalan kerana tidak mendapat kerjasama yang diperlukan.

Jabatan itu dalam kenyataan, memaklumkan empat beradik itu sudah hadir ke pejabat JPN, semalam.

“Ketika pertemuan, pihak JPN sudah meneliti beberapa bukti yang dikemukakan termasuk salinan dokumen perkahwinan ibu bapa mereka.

“Bagaimanapun, beberapa butiran penting dalam salinan dokumen berkenaan gagal dibaca kerana tidak jelas dan kabur,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemohon iaitu abang sulung yang masih belum bertaraf warganegara Malaysia turut mengemukakan permohonan kewarganegaraan bagi adik-adiknya.

Katanya, permohonan dikemukakan melalui kaedah Pengesahan Taraf Kewarganegaraan, namun tidak disertakan sokongan dokumen yang diperlukan.

“Justeru, JPN menasihatkan pemohon untuk mendapatkan pengesahan bertulis mengenai butir-butir perkahwinan ibu dan bapa beliau yang berlaku di luar negara dari kedutaan yang berkaitan terlebih dulu.

“Selepas memperoleh pengesahan dan terbukti perkahwinan itu berlaku sebelum kelahiran mereka, pindaan taraf kewarganegaraan pada sijil kelahiran mereka boleh dibuat di JPN,” katanya.

JPN turut menasihatkan mereka untuk mendapatkan seorang pemohon bertaraf warganegara bagi pihak mereka dalam membuat permohonan Pengesahan Taraf Kewarganegaraan untuk mereka.

“Namun demikian pemohon enggan memberikan kerjasama terhadap nasihat yang diberikan oleh JPN.

“Justeru, adalah mustahil bagi JPN mempertimbangkan permohonan hanya berdasarkan salinan dokumen yang kabur dan tidak dapat dibaca butiran pentingnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, adalah juga mustahil untuk individu yang belum bertaraf warganegara membuat permohonan kewarganegaraan bagi adik-adiknya.

“JPN komited untuk menyelesaikan kes ini tertakluk mendapat kerjasama penuh daripada pemohon. Sebarang campur tangan daripada ejen atau orang tengah boleh menyebabkan penyelesaian permohonan ini menjadi lewat,” katanya.

JPN turut menegaskan setiap permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia yang dikemukakan akan diterima dan diproses berdasarkan kelayakan yang ada pada pemohon.

“Kelayakan ini mestilah disokong dengan dokumen atau bukti berkaitan tertakluk pada peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat beradik iaitu Aziq Fadyan, 24, dan adiknya, Azreen Batrisya, 22, dikatakan dihalang untuk hadir ke sekolah kerana tiada kad pengenalan.

Dua adik mereka, Azzahra Batrisya, 12, dan Azalea Batrisya, 9, turut menerima nasib sama dan tidak bersekolah sehingga kini kerana tiada dokumen pengenalan diri sah.

Perkara itu didedahkan pada satu sidang media yang diatur Lawyers for Liberty (LFL) di ibu pejabat LPL di Petaling Jaya dekat sini, Selasa lalu.

Difahamkan, perkahwinan ibu bapa mereka dikatakan berlangsung di Indonesia dan Malaysia pada 1998 dan semua mereka dilahirkan serta dibesarkan di Malaysia.

Pada sidang media itu, Penasihat LFL, N Surendran berkata, permohonan mereka mendapatkan status warganegara ditolak pihak JPN atas alasan tidak munasabah tanpa memberikan perincian lanjut.

Loading...
Terkini