comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam termasuk dua kanak-kanak terperangkap 30 minit dalam lif

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Enam termasuk dua kanak-kanak berdepan detik cemas selama 30 minit selepas terperangkap dalam lif yang secara tiba-tiba mengalami kerosakan, hari ini.

Kejadian itu berlaku di pangsapuri Ladang Tanjung, di sini, kira-kira jam 11.50 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Jalan Kota, Penolong Kanan Pengusaha Bomba (PKPgB), Yahaya Hanapi @ Nasir, berkata pihaknya menghantar dua jentera termasuk ambulan selepas menerima panggilan kecemasan mengenai enam penghuni pangsapuri terperangkap dalam lif, kira-kira jam 12.03 tengahari.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan kunci pendua yang dibawa untuk membuka pintu lif bagi mengeluarkan enam penghuni termasuk pasangan suami isteri di tingkat tiga pangsapuri itu.

“Mangsa yang terperangkap dalam lif itu adalah dua lelaki dewasa berusia antara 31 dan 40 tahun, dua wanita berusia antara 39 dan 40 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara enam dan 10 tahun.

“Mangsa dikatakan menaiki lif di tingkat tiga bangunan setinggi 30 tingkat untuk turun ke tingkat bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kepada enam mangsa yang terperangkap dalam lif selama kira-kira 30 minit.

“Tiada sebarang kerosakan berlaku pada pintu lif kerana kita tidak menggunakan peralatan untuk mencungkil pintu bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Kita terpaksa menggunakan kunci pendua yang dibawa sendiri oleh ketua operasi untuk membuka pintu lif bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian itu berlaku penyelia bangunan tiada di lokasi dan tidak meninggalkan kunci pendua pintu lif pada kotak kecemasan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini