comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam sekeluarga berpakaian hijau tanda solidariti untuk Palestin

Zulhailey Mohamad Adnan dan keluarga bergambar di Dataran Putra dengan mengenakan pakaian berwarna hijau sebagai tanda solidariti untuk Palestin.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kezaliman dan kerakusan zionis Israel ‘meratah’ penduduk Gaza tanpa perikemanusiaan selama berpuluh tahun membuka hati seorang ayah untuk mendidik anaknya tentang peri penting kebebasan rakyat Palestin.

Menurut Zulhailey Mohamad Adnan, dia mahu menanam semangat solidariti untuk Palestin kepada empat anaknya sejak dari kecil.

“Apa-apa solidariti yang ada (untuk Palestin), kalau sempat saya akan bawa mereka semua (untuk sertai). Saya nak beri kefahaman awal kepada mereka tentang apa situasi yang berlaku sekarang berhubung isu semasa di Palestin,” katanya.

Terdahulu, gelagat Zulhailey sekeluarga berpakaian berwarna hijau merakam gambar di Dataran Putra, di sini hari ini, mencuri perhatian wartawan yang membuat tinjauan sempena kempen ‘Wear Green For Palestine’.

Zulhailey, 37, dan isterinya, Nur Afifah Ahmad Azam, 37, serta anak yang berusia antara dua hingga 13 tahun turut bergambar dengan mengibarkan bendera Palestin.

Jelasnya, Dataran Putra yang bersebelahan Masjid Putra dipilih sebagai latar belakang gambar bagi menunjukkan kebersamaan rakyat Malaysia dengan rakyat Palestin.

“Hari ini saya satu keluarga sertai solidariti pakai baju hijau bagi kita tunjukkan kepada dunia bahawa kita bersama-sama Palestin menentang kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

Penjawat awam menyokong kempen ‘Wear Green for Palestine’.

“Alhamdulillah dari pagi tadi, saya tengok sambutan memberangsangkan, ramai pakai baju hijau,” katanya.

Sementara itu, ‘lautan hijau’ turut membanjiri bangunan kerajaan apabila kebanyakan warga perkhidmatan awam turut mengenakan pakaian berwarna tersebut.

Penjawat awam di sebuah jabatan, Effaizah Shahidan berkata, dia mengetahui kempen berkenaan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp.

Katanya, seramai 80 peratus rakan sepejabat menyokong kempen terbabit.

“Kami tidak dipaksa (sertai kempen), siapa yang nak turut bersolidariti tetap akan terus pakai (hijau). Sejak semalam, sudah kecoh beritahu 15 November ini penting untuk sama-sama kita menyokong perjuangan membebaskan Palestin.

Kempen ‘Wear Green For Palestine’ diadakan hari ini sempena memperingati tarikh kemerdekaan Palestin yang jatuh pada 15 November 1988.

Loading...
Terkini