comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam penumpang van persiaran terselamat nahas di Genting Highlands, kini kritikal

lokasi kejadian van persiaran yang terbabas ketika turun dari Genting Highlands petang semalam. – Foto Bomba

KUANTAN: Enam daripada tujuh penumpang van persiaran yang terselamat dalam nahas mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur semalam, dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lima mangsa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang mangsa di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

“Seorang lagi penumpang terbabit yang tidak kritikal kini dirawat di HKL,” katanya mengulas status penumpang van persiaran.

Ramli ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan hari ini. – Foto NSTP

Media semalam melaporkan seramai tujuh maut, manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran yang dinaiki terbabit kemalangan pada jam 1.15 tengah hari.

Seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki untuk pulang ke Pulau Pinang.

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan enam penumpang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal di HKL.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi lain termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

“Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli turut menasihati pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan mereka termasuk kenderaan awam dalam keadaan selamat apabila berada di jalan raya.

Keutamaan kepada pengguna jalan raya yang ingin melancong terutama ke kawasan tanah tinggi.

“Bagi pemandu kenderaan awam mereka tidak mengantuk dan memastikan enjin dan tayar kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.

“Kebetulan di Pahang, banyak kawasan pelancongan di tanah tinggi dan jika orang luar tidak biasa dengan jalan seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands dan tempat lain, boleh membawa risiko terutama di selekoh,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini